Skip to Content

Sunday, December 15th, 2019

Speech (in Malay) by Mr Hawazi Daipi at the Inter-School National Malay Scrabble competition

Closed
by June 9, 2014 General

Pengenalan

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Pengetua Sekolah Menengah Bishan Park, Puan Valerie Goh, para guru dan para pelajar sekalian.

Dalam kita melangkah ke era yang semakin canggih ini, profil anak didik kita juga semakin berubah. Oleh yang demikian, pembelajaran harus disesuaikan bukan sahaja mengikut profil para pelajar kita, tetapi mengambil kira minat dan kesediaan mereka. Bagaimanakah bentuk profil mereka yang berbeza? Yang pertama, adalah hakikat bahawa lebih ramai keluarga Melayu, termasuk para pelajar dan ibu bapa mereka, menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa basahan. Ini merupakan cabaran bagi para guru dan pendidik, dan juga para ibu bapa.

Kaedah pengajaran di sekolah harus disesuaikan dengan profil para pelajar yang sudah pun berubah. Matlamatnya juga harus berubah, iaitu untuk mendidik anak muda kita untuk fasih, gemar dan bangga menggunakan bahasa ibunda mereka. Antara strategi yang digunakan termasuklah penggunaan peralatan ICT yang dapat menggalakkan interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda. Para pelajar pada masa kini lebih terdedah dengan bahan ICT. Oleh itu, para guru harus memberikan lebih banyak ruang dan peluang menggunakan ICT untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu lebih menarik.

Penggunaan permainan terarah dalam pembelajaran juga merupakan satu kaedah alternatif yang mampu meraih matlamat yang serupa. Permainan bahasa seperti Sahibba pastinya akan dapat melibatkan pelajar secara aktif dalam pembelajaran. Kajian telah membuktikan bahawa para pelajar gemar akan pembelajaran yang melibatkan mereka secara langsung dalam aktiviti yang dirancang oleh guru seperti dalam permainan bahasa. Dalam permainan Sahibba, para pelajar akan cuba berfikir secara kritikal untuk menghasilkan perkataan-perkataan Melayu berdasarkan jubin-jubin yang telah disediakan. Bukan itu sahaja, pelajar juga perlu berfikir secara kreatif agar lokasi jubin-jubin itu memberikan peluang dan potensi untuk mereka mendapat markah yang setinggi mungkin. Segala proses kognitif ini pula berlangsung dalam suasana pertandingan yang sihat dan dalam keadaan yang dapat menyemai nilai-nilai murni.

Melihat pada apa yang berlaku pada petang ini, jelas sekali bahawa pertandingan ini telah berjaya mencapai matlamatnya. Para pelajar mampu menggunakan elemen bahasa dalam suasana pertandingan dan saya pasti, pembelajaran telah berjalan walaupun dalam suasana di luar bilik darjah yang tidak begitu formal. Saya juga dimaklumkan hampir seratus pelajar sekolah rendah yang telah mengambil bahagian pada awal pagi tadi. Bukan itu sahaja, pihak penganjur juga telah mengadakan satu kategori khas untuk para guru. Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Cikgu Johan, Puan Valerie Goh, dan kakitangan sekolah serta guru-guru lain kerana mengambil daya usaha untuk menganjurkan pertandingan ini.

Sebelum saya akhiri ucapan saya, ingin saya tekankan bahawa dalam adat pertandingan, pasti ada yang kalah, dan pasti ada yang menang. Namun, apa yang lebih penting ialah sikap pelajar-pelajar kita yang harus sentiasa mempunyai rasa cinta akan bahasa ibunda. Kita boleh memulakannya dengan menggunakan bahasa ibunda atau Bahasa Melayu dengan sekerap mungkin seperti di kalangan rakan-rakan kita atau di luar bilik darjah dalam suasana yang tidak formal.

Akhir kata, terima kasih sekali lagi saya tujukan kepada Sekolah Menengah Bishan Park, kerana menganjurkan peraduan ini. Saya menghargai usaha yang dilakukan untuk mengadakan peraduan ini di peringkat nasional. Saya juga berharap MLLPC akan terus memberikan sokongan kepada daya usaha sebegini, dan sekolah-sekolah akan terus memberi peluang kepada para pelajar untuk mengasah kemahiran mereka dalam Bahasa Melayu. Saya akan akhirkan ucapan saya dengan sebuah pantun:

Burung kedidi terbang berdua,
Hinggap sebentar di pucuk rumbia;
Junjunglah tinggi bahasa ibunda,
Majulah bahasa, majulah bangsa!

Terima kasih.

Previous
Next